Jika sebut sahaja mochi, fikiran kita pasti terbayang kuih mochi yang berasal dari Jepun. Biasanya kuih mochi tradisional mempunyai inti kacang merah. Selain inti kacang merah, kuih mochi turut dikomersilkan dengan pelbagai inti lain yang berperisa buah-buahan.

Tahu tak sebenarnya Malaysia juga mempunyai kuih tradisional yang tidak jauh bezanya dengan kuih mochi? Kuih tepung gomok.

Kuih tepung gomok yang juga dipanggil kuih tepung gomak atau kuih beluru ini sangat popular di negeri pantai timur Malaysia terutama di Kelantan dan Terengganu. Kuih yang diperbuat daripada tepung pulut ini digentel berbentuk bulat dan diletakkan inti kelapa manis atau inti kacang merah di dalamnya. Bahagian luar kuih yang sudah digentel kemudiannya akan digolekkan di atas tepung pulut atau tepung kacang hijau bagi mengelakkan ianya melekat di antara satu sama lain dan juga di jari kita semasa makan.

Bagi masyarakat Cina juga, mereka mempunyai kuih mochi tradisional. Semasa bersiar-siar di Jalan Petaling awal tahun lalu, saya berkesempatan untuk melihat kuih ini dilakukan. Mempunyai asas bahan yang sama iaitu tepung pulut, kuih mochi tradisional masyarakat Cina walaubagaimanapun tidak mempunyai inti.

Kuih mochi masyarakat Cina hanya dipotong berbentuk petak dan dan digolek-golek di atas timbunan kacang tanah yang dimesin kasar. Kacang tanah ini berfungsi untuk menyaluti permukaan luar kuih mochi.