Cuti sekolah sering membuatkan emak dan ayah pening memikirkan ke mana hendak dibawa anak-anak pergi bercuti. Apabila dikenangkan kawasan percutian seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Cameron Highlands yang ramai pengunjung, bertambah pening kepala dibuatnya. Perasan atau tidak, setiap kali musim perayaan atau cuti sekolah, jalanraya yang menghala keluar dari Kuala Lumpur akan mengalami penambahan aliran tradik berbanding aliran trafik masuk ke Kuala Lumpur.

Jadi, apa kata kali ni kita bawa anak-anak bercuti bersama flora dan fauna di Kuala Lumpur. Berikut adalah 7 tempat yang mempunya tarikan flora dan fauna di Kuala Lumpur.

  1. Zoo Negara

Zoo Negara yang terletak di sebelah Taman Melawati ini mempunyai keluasan 110 ekar. Merupakan habitat bagi lebih 400 ekor fauna seperti gajah, zirafah, panda, penguin, harimau, orang utan dan pelbagai lagi termasuk burung-burung. Bagi anak-anak yang merupakan pencinta haiwan, pastinya Zoo Negara merupakan tempat yang akan dihabiskan masa berjam-jam untuk melihat haiwan. Anak-anak juga boleh memberi makan dan bermain-main dengan haiwan di bahagian taman Dunia Kanak-kanak.

2. Aquaria KLCC

Aquaria KLCC merupakan sebuah muzium yang terletak di bawah bangunan Kuala Lumpur Convention Center. Dengan kawasan seluas 60,000 kaki persegi, Aquaria KLCC mempunyai pelbagai ruang pameran yang menempatkan 5,000 hidupan air dan darat. Ikan Piranha di dalam akuarium setia menunggu mengalu-alukan kedatangan kita sejurus menjejakkan kaki ke ruang pameran. Jika anda bernasib baik, anda akan dapat melihat tim Aquaria KLCC memberi makan kepada ikan-ikan piranha ini. Terowong bawah air iaitu akuarium terbesar di dalam Aquaria KLCC akan membuatkan kita seperti berada di dalam air bersama ikan pari, ikan jerung dan penyu yang sedang berenang-renang. Suasana di dalam terowong ini sungguh mengasyikkan.

3. Taman Burung Kuala Lumpur

Taman Burung Kuala Lumpur terletak di kawasan sekitar Taman Botani Perdana. Taman burung ini merupakan taman burung terbesar di Malaysia dan juga merupakan taman burung terbuka yang terbesar di dunia. Burung-burung di dalam taman ini boleh terbang bebas dan tidak dikurung di dalam sangkar. Anak-anak pasti teruja melihat burung-burung yang jinak berjalan dan terbang bebas. Jangan takut pula jika ada burung yang datang menghampiri. Anak-anak boleh juga memberi makan burung selain melihat persembahan daripada burung-burung di sini. Antara burung unik yang boleh dilihat di sini ialah burung merak, burung enggang, burung kakak tua dan burung hantu yang suka memusing-musingkan kepalanya.

4. Taman Rama-Rama

Taman Rama-rama Kuala Lumpur terletak tidak jauh dari Taman Burung Kuala Lumpur. Taman rama-rama ini merupakan taman rama-rama terbesar di dunia dengan berkeluasan 80,000 kaki persegi yang menjadi habitat 5,000 ekor rama-rama. Taman lanskap yang menempatkan rama-rama, pokok paku-pakis, pokok rumah rama-rama dan juga pokok-pokok eksotik. Rancangan dokumentari Discovery Channel pernah membuat kenyataan bahawa tiada taman rama-rama di dunia yang dapat menandingi Taman Rama-Rama Kuala Lumpur.

5. Taman Botani Perdana Kuala Lumpur

Sumber gambar: Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies and Leiden University Library/Wikimedia Commons
Sumber gambar: Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies and Leiden University Library/Wikimedia Commons

Taman Botani Perdana yang satu ketika dahulu dikenali sebagai Tasik Perdana dan juga Taman Tasik. Taman ini sudah pun wujud sejak tahun 1888 lagi. Taman Botani Perdana merupakan sebuah taman rekreasi yang sangat besar dan sering menjadi lokasi riadah warga kota terutama pada hujung minggu.

Di dalam taman ini terdapat beberapa taman kecil lain seperti taman bunga raya, taman orkid, taman heliconea, taman herba, taman rusa dan juga koleksi pokok-pokok hutan. Selain dapat mengenal spesis flora di sini, anak-anak juga boleh meluangkan masa untuk memberi makan ikan dan bermain di taman permainan kanak-kanak.

6. Taman Rimba Kuala Lumpur

Taman Rimba Kuala Lumpur merupakan hutan hujan tropika yang yang masih tinggal di tengah nadi kota. Terletak di kaki Menara Kuala Lumpur, Taman Rimba ini mempunyai keluasan 11,000 hektar. Taman Rimba Kuala Lumpur merupakan habitat flora dan fauna selain mempunyai laluan kanopi yang sesuai untuk setiap lapisan umur. Suasana yang tenang dengan bunyi-bunyi unggas membuatkan kita sedikit terlupa yang kita sebenarnya berada di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Dari Taman Rimba ini kita boleh mendaki perlahan-lahan menuju ke arah Menara Kuala Lumpur dan melakukan aktiviti lain pula apabila tiba di sana. Pendek kata, dalam satu tempat, kita boleh mendapat pelbagai tarikan.

7. Mini Zoo Menara KL

Mini Zoo Menara Kuala Lumpur atau KL Tower Mini Zoo terletak di kaki Menara Kuala Lumpur dan berdekatan Bukit Nenas. Mini Zoo ini menempatkan haiwan kecil yang boleh dilihat dan disentuh oleh pelawat. Pelawat juga boleh mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan beberapa haiwan unik di sini seperti alpaca, kura-kura albino, dan kura-kura terbesar di dunia. Terdapat 50 spesis haiwan yang ada di mini zoo ini.

Rekabentuk KL Tower Mini Zoo terbahagi kepada beberapa kawasan seperti Mini Jungle, Moonlight Shed, Happy Farm Village, Birdy School, Pet Village, Jungle View dan Forest Walk.