Tahukah anda bahawa satu ketika dahulu Sungai Lembing merupakan sebuah pekan yang amat terkenal di England. Pernyataan ini bukanlah bermaksud bahawa Sungai Lembing itu terletak di England, tetapi hasil peribuminya diperdagangkan sehingga ke England. Sungai Lembing mempunyai lombong bijih timah syaf yang terdalam di dunia dan mengeluarkan hasil bumi yang banyak. Banyak hasil dagangan yang berjenama yang dibawa terus dari England boleh dimiliki oleh penduduk Sungai Lembing pada masa itu.
Pekan Sungai Lembing pada ketika itu sangat meriah dengan penduduk berbilang kaum yang ramai. Hidup dengan selesa dan mempunyai kemudahan yang baik dan mesra sesama kaum. Hospital pun ada di Pekan Sungai Lembing pada ketika ini dan bukan sekadar Klinik Desa sahaja.
Tetapi pekan Sungai Lembing menjadi agak sunyi apabila sektor perlombongan ini telah dihentikan. Ramai yang mula berpindah keluar meninggalkan Sungai Lembing untuk mencari sumber pekerjaan yang lain selain dari kembali ke kampung asal mereka. Lantaran itu pekan yang asalnya meriah telah menjadi sunyi sehinggakan pernah digelar Ghost Town dalam rancangan dokumentari di televisyen dan juga di dalam akhbar.
Sungguhpun begitu, sekarang Sungai Lembing sudah tidak sesepi dahulu lagi terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. Ini adalah kerana semakin ramai pelancong dari dalam dan luar negara datang berkunjung ke Sungai Lembing untuk melihat kesan tinggalan sejarah dan juga menikmati keindahan alam yang mungkin tiada tandingannya di tempat lain.
Bukankah sesuatu yang menakjubkan dapat melihat matahari terbit di kedudukan yang tidak terlalu tinggi tapi seolah-olah sedang berada di penempatan di atas awan? Mendaki Bukit Panorama bagi yang tidak biasa mendaki, mungkin mengambil masa sekitar satu jam berbanding kaki daki yang mengambil masa hanya 20 – 30 minit sahaja. Hilang penat apabila melihat pemandangannya yang memukau sejauh 25km jaraknya dari tempat anda sedang berdiri.
Bagi yang sukakan aktiviti berkelah dan bermandi-manda di air terjun, Air Terjun Pelangi ialah destinasi wajib pergi bila ke Sungai Lembing. Ianya bukanlah sekadar nama, tetapi memang kita boleh melihat wujudnya pelangi di air terjun itu yang sangat jelas kelihatan apabila cuaca panas pada waktu pagi. Trekking selama sejam untuk ke kawasan air terjun ini amat berbaloi dengan apa yang diperolehi di hujung perjalanan.
Bagi yang suka mencuba masakan tempatan, jangan lupa untuk mencuba Nasi Dagang Ikan Aye, Kuih Pau Bergula, Pulut Sambal Ikan dan Mee Jawa yang sememang sangat lazat di Kedai Moksu.