Perjalanan mengerjakan umrah bukanlah satu kembara pelancongan biasa. Kembara umrah ialah kembara mencari Allah dalam diri kita sendiri. Allah menjemput kita untuk menjadi ahlul albab supaya kita berfikir dan beruntunglah mereka yang sentiasa berfikir kerana di sisi Allah pencerahan ilmu sedang berlaku di Tanah Haram sendiri.
Rasulullah sendiri ketika hidupnya menyampaikan ilmu dan syariat. Baginda tidak mengharapkan sahabat-sahabat terus memahami falsafah dan membuat analisis yang terperinci kerana pada waktu itu Baginda masih ada untuk menjelaskan sejelas-jelasnya setiap keperluan asbab hukum dan arahan Allah. Selain memahami ritual dan aktual ibadah umrah, aktiviti ziarah juga dapat membuat kita lebih jelas dan memahami akan apa yang dilalui Baginda pada masa dahulu dalam menyebarkan agama Islam.
- Ziarah ke Gua Hira’
Gua Hira’ terletak di puncak Jabal Nur di ketinggian 642 meter dari aras laut. Lokasi Gua Hira’ itu betul-betul tepat menghadap arah Kaabah di Masjidilharam. Gua Hira’ merupakan tempat Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama. Ziarah ke sini menjelaskan tentang ibrah wahyu pertama yang menyebut tentang kepentingan ilmu. Di sini juga memberikan kita gambaran bagaimana suatu ketika dahulu isteri nabi, Siti Khadijah berulang-alik menghantar makanan kepada nabi selain kita melihat ruang duduknya nabi ketika menerima wahyu. Segala usaha yang dilakukan adalah untuk menyebarkan agama Allah.
2. Ziarah ke Jabal Thur
Bukit Thur atau Bukit Thursina setinggi 470 meter dari aras laut merupakan lokasi Baginda nabi bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar bagi mengelak daripada cubaan membunuh baginda oleh golongan kafir Quraisy. Pada malam peristiwa, 11 pemuda Quraisy mengepung rumah Rasulullah dan merancang membunuh baginda pada waktu Subuh ketika mahu ke masjid. Baginda nabi keluar dari rumah pada waktu malamnya ketika pemuda yang mengepung rumah nabi sedang tertidur dan tempat nabi digantikan oleh Saidina Al. Peristiwa bersembunyi di Jabar Thur ini telah menjadi pencetus awal penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah.
3. Ziarah ke Jabal Rahmah
Jabal Rahmah merupakan tempat saksi berlakunya 3 peristiwa besar yang melibatkan 3 orang nabi. Perisitwa pertama ialah pertemuan Nabi Adam dan isteri baginda, Siti Hawa selepas sekian lama berpisah sebaik mereka dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke muka bumi. Peristiwa kedua pula melibatkan nabi Ibrahim yang mendapat mimpi untuk menyembelih nabi Ismail. Mimpi kedua berkenaan penyembelihan ini berlaku ketika nabi Ibrahim sedang berada di Jabal Rahmah. Rasulullah menerima wahyu yang telah dicatat di dalam surah al-Maidah ayat 3. Makna tersirat di sebalik turunnya wahyu tersebut iaitu petanda bahawa Baginda akan meninggalkan para sahabat yang ada pada ketika itu dan pergi menemui Allah SWT.
4. Ziarah Masjid Ja’ranah
Masjid Ja’ranah terletak sebuah kampung yang jaraknya sekitar 24 km dari Masjidil Haram, Makkah al- Mukarramah.
Rasulullah s.a.w pernah bermiqat di sini untuk mengerjakan umrah setelah pulang dari peperangan Hunain. Masjid ini mendapat nama dari Ji’ronah, seorang wanita yang mengabdikan dirinya untuk membersihkan dan menjaga masjid ini.
5. Ziarah Ta’if
Dakwah Rasulullah di Taif bermula setelah mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy. Pada ketika Rasulullah sedang berduka setelah pemergian bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta Siti Khadijah ke rahmatullah, Rasulullah menuju ke Taif dengan ditemani oleh Zaid bin Haritsah yang berjarak tidak sampai 100 km dari kota Makkah.
Baginda Rasul menyangka penduduk Taif dapat menerima kehadiran beliau tetapi tanpa disangka mereka menolak serta mencemuh baginda Rasul. Akhirnya, Rasulullah kembali ke Makkah dan seterusnya berhijrah ke Madinah. Penjalanan ke Taif menyaksikan laluan gunung ganang yang berliku untuk tiba ke puncaknya.
6. Masjid Hudaibiah
Di tempat inilah terjadi perjanjian Rasulullah SAW dengan Kafir Quraisy, yang kemudian dikenal dalam Sirah Nabaawiyah sebagai Perjanjian Hudaibiyah.
Peristiwa ini bermula ketika pada tahun 6 Hijriah saat Nabi Muhammad SAW akan menunaikan ibadah umrah dengan rombongan besar. Saidina Uthman bin Affan telah dihantar Rasulullah untuk membuat rundingan bersama kaum Quraisy, tetapi mereka telah menangkapnya. Ekoran dari peristiwa ini telah membawa kepada perdamaian yang dimeterai di kawasan sekitar masjid.
Di wilayah Hudaibiyah ini masih boleh dilihat sisa dinding masjid yang berusia 1400 tahun dengan ketebalan tembok satu hasta dan tinggi sekira tiga meter. Masjid tua tersebut tidak lagi dipakai semenjak adanya masjid baru di sebelahnya. Banyak yang tidak mengetahui bahwa tinggalan ini dahulunya ialah masjid yang memiliki fungsi penting dan saksi bisu saat diadakan perjanjian dengan kaum musyrikin Makkah. Sumpah setia semua sahabat untuk Rasulullah pada ketika itu dikenal dengan sebutan Bai’aturridwan.
Masjid ini ialah salah satu tempat untuk bermiqat bagi yang ingin menunaikan umrah.
7. Ziarah Muzium Alamoudi
Muzium Al Amoudi yang terletak di daerah El Shimeisi dibina seperti kubu Arab lama dan berwarna coklat. Struktur dinding muzium ini dibina dengan cara tradisional menggunakan campuran jerami, lumpur, pelepah kurma dan susu yang mana merupakan cara pembinaan rumah tradisional Arab pada zaman dahulu.
Muzium unik ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba pakaian tradisional masyarakat tempatan selain dibenarkan untuk menyentuh artifak pameran.
Pengisian semasa aktiviti ziarah juga dapat membuatkan kita lebih kenal dan cinta kepada agama kita. Baca di sini jika ingin mengetahui tentang umrah.