Kuala Sat bukanlah satu lokasi yang popular di kalangan rakyat Malaysia. Rasanya jika ditanya di mana letaknya Kuala Sat ini, ramai yang tidak tahu. Kuala Sat terletak di sebuah daerah terbesar di Semenanjung Malaysia. Iya, letaknya di kawasan Taman Negara Pahang, Jerantut.

Selain melakukan aktiviti canopy walk, menjejak gajah dan melawat penempatan Orang Asli suku Batek, aktiviti rekreasi sukan air amat digemari untuk dilakukan di Sungai Kuala Sat.

Eksplorasi Sungai Kuala Sat ini sesuai untuk percutian setiap lapisan umur kerana terdapat pelbagai aktiviti rekreasi yang sesuai. Menaiki bot menelusuri sungai sambil melihat burung berek-berek berterbangan dan ditemani bunyi rimba, cukup mendamaikan. Bagi anak-anak pula sudah pasti akan teruja apabila dapat bermain dengan ikan kelah di Santuari Kelah. Ratusan ikan kelah akan mengelilingi mereka tatkali kaki menginjak masuk ke dalam air sungai.

Bagi mereka yang baru ingin mencuba aktiviti rekreasi air, di Sungai Kuala Sat ini mereka boleh mencuba aktiviti berkayak, berakit meredah jeram dan juga berpelampung menelusuri sungai. Sungai Kuala Sat tidak mempunyai jeram yang terlalu deras. Jadinya aktiviti rekreasi air di sini turut sesuai disertai oleh kanak-kanak.

Moh kita ke Taman Negara Pahang di Jerantut.