6:00 pagi

Kami sepuluh orang berjalan kaki dari penginapan bersama-sama menuju ke masjid berdekatan untuk solat Subuh berjemaah. Untungnya di Mostar ini, solat Subuh di masjid didirikan selepas setengah jam masuknya waktu solat. Perjalanan kami ke masjid mengambil masa kurang dari 5 minit.

Usai solat, kami semua bergerak ke kawasan tepi masjid yang merupakan lokasi cantik untuk mengambil gambar berlatar belakangkan jambatan lama Mostar, Stari Most. Untungnya mengambil gambar pada waktu ini, tiada pengunjung lain.

Kami bebas untuk mengambil seberapa banyak gambar tanpa ada kelibat pengunjung lain.

Selesai mengambil gambar, kami semua kembali ke penginapanan untuk sarapan dan bersiap-siap untuk ke perkampungan lama Pocietlj.

8:30 pagi

Kami semua menaiki bas menuju ke Pocietlj yang mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.

Perlahan-lahan kami semua menelusuri tangga menuju ke bekas tinggalan istana di puncak bukit. Perjalanan naik tidaklah begitu lama tetapi kami banyak berhenti untuk mengambil gambar.

Dari puncak bukit, kami dapat melihat pemandangan keseluruhan perkampungan yang cantik dilengkapi dengan sungai Neretva yang mengalir di hadapannya.

10:30 pagi

Kami bergerak ke Blagaj yang terletak tidak jauh dari Pocietly. Perjalanan kami menaiki bas hanya sekitar 10 minit sahaja. Kami berjalan kaki dari kawasan parkir ke Blagaj. Perjalanan yang tidak sampai 1 kilometer itu mengambil lebih lama apabila masing-masing terpegun melihat buah-buah tin dijual dengan harga yang murah selain dari madu tempatan dan juga cenderahati yang pelbagai.

Kami menuju ke restoran yang terletak bersebelahan dengan Tekkija. Rugi jika datang ke sini tidak mencuba makanan lokal seperti ikan trout segar bakar.

Selesai menjamu selera dan bergambar dengan jeram yang jernih ni, kami menaiki tangga ke Tekkija untuk melihat sendiri rumah sufi dan menunaikan solat Zohor di sini.

2:00 petang

Kami berjalan ke kawasan parkir untuk menaiki bas dan balik ke penginapan. Sambil berjalan, kami berhenti untuk membeli barang jualan dari gerai-gerai kecil di tepi jalan. Harga barang jualan mereka berpatutan dan tidak mahal walaupun kawasan ini adalah kawasan ramai pengunjung.

4:00 petang

Kami keluar beramai-ramai untuk berjalan kaki ke Bandar Lama Mostar. Lokasinya tidak jauh dari penginapan kami. Di kiri kanan banyak kedai menjual cenderahati, kafe dan restoran. Cuaca sejuk ni, selesa juga jika dapat minum coklat panas dengan sepotong kek.

Kami melintasi Stari Most untuk meninjau kawasan di seberang sungai. Jalan di Bandar Lama Mostar ni diperbuat dari cobblestones. Kena berhati-hati ketika berjalan supaya tidak mudah tersadung kaki.

Kami semua pulang ke penginapan sebelum masuknya waktu solat Maghrib.