“Eh! Lain macam perisa coklat ni. Boleh saya cuba?” Ringan aje mulut ini menyapa empunya gerai di tapak pameran dari Langkawi.

“Coklat herba?” Emmm…. Teksturnya lembut tidak melekat di lelangit. Tidak manis. Apabila digigit, ada cebisan-cebisan halus di dalam coklat tu. Otak ligat cuba meneka tekstur apakah yang sedang beraksi di dalam mulut. Sekali rasa seperti croquant, sekali rasa macam chocolate nib, sekali rasa macam kenyal pula. Oh! Macam ni rupanya bila gamat dijadikan coklat. Sedap!

Gamat dikeringkan dan dinyahbau terlebih dahulu sebelum dikisar halus dan dimasukkan ke dalam coklat dengan komposisi 40 peratus gamat dan 60 peratus coklat. Selain daripada coklat gamat, pengeluar coklat tempatan dari Langkawi ini juga mengeluarkan coklat herba kulit kayu manis, coklat herba cengkih, coklat herba tongkat ali, coklat herba manjakani dan coklat herba kacip fatimah yang mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Nak cuba coklat herba ni? Coklat-coklat ini boleh didapati di HIG Langkawi.

P/s: Sempat ke berkunjung ke Pameran MAHA 2022? Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 yang berlangsung dari 4 Ogos telah pun melabuhkan tirainya pada 14 Ogos yang lalu.