Switzerland merupakan sebuah negara yang mendapat jolokan the water castle of Europe dek kerana mempunyai lebih daripada 1500 tasik. Tasik-tasik yang jernih kebiru-biruan ni boleh kita temui di kawasan tanah rendah dan juga di kawasan pergunungan.

Berikut adalah antara 7 tasik tercantik yang boleh kita temui di kawasan pergunungan Switzerland.

  1. Tasik Oeschinensee

Tasik Oeschinensee merupakan tapak warisan dunia UNESCO yang terletak di Lembah Kander. Air tasiknya yang jernih berwarna turqoise dengan berlatar belakangkan gunung menjadi daya tarikan orang ramai untuk datang ke sini. Tasik ini mendapat sumber air daripada glasier yang mencair.

Selain menikmati panorama yang memukau, pengunjung biasanya akan berkelah, berenang dan mendayung perahu di tasik yang berukuran 1.6 kilometer ini.

2. Tasik Blausee

Blausee mendapat nama daripada sifatnya sendiri iaitu berwarna biru. Tasik yang terletak di dalam Nature Park di Lembah Kander ini tidak memerlukan pendakian untuk sampai ke tasiknya.

Tasik Blausee yang kecil jernih ini membolehkan kita dapat melihat hingga ke dasar tasik. Katanya pada suatu ketika dahulu kejernihan air tasik ini disebabkan oleh air mata si gadis yang menangisi kematian kekasih hatinya. Patung berupa gadis ada diletakkan di dalam tasik sebagai simbolik akan kisah lagenda ini.

3. Tasik Lauenensee

Tasik Lauenensee sebenarnya terdiri daripada gabungan dua tasik yang kecil dan tidak terlalu dalam. Pengunjung boleh mendayung sampan di tasik ini selain berkelah dan berenang.

Khabarnya tasik gunung yang terletak di kaki Bernese Alps ini mempunyai sebuah lagu yang dinyanyikan oleh sebuah kumpulan muzik Switzerland, Span pada tahun 1983 yang menceritakan tentang kecantikannya.

Untuk sampai ke tasik ini, pengunjung perlu mendaki atau menaiki gondola.

4. Tasik Seealpsee

Tasik Seealpsee terletak di daerah Appenzell yang berlatarkan gunung Alps. Tasik ini dikelilingi oleh pokok-pokok pine dan gunung. Untuk tiba ke tasik ini, pengunjung perlu mendaki dan tiada servis gondola disediakan.

Selain bersantai di sekitar tasik, berenang dan mendayung sampan di tengah tasik, ramai pengunjung meneruskan pendakian mereka ke Restoran Ă„scher yang terkenal di pelosok dunia dek kedudukannya di pinggir lereng bukit. Sesuai untuk mereka yang tidak gayat sahaja, ya.

5. Tasik Caumasee

Tasik Caumasee terletak di kawasan pergunungan Grison Alps. Tasik ini dikelilingi oleh hutan pine dan mempunyai sebuah pulau kecil di tengahnya.

Tasik Caumasee yang nama asalnya Lag la Cauma yang bermaksud Lake of Siesta mempunyai pantai. Pengunjung boleh bermain bola tampar pantai di sini selain dari mendayung sampan, stand-up paddling dan bersantai di serambi restoran.

6. Tasik Silsersee

Tasik Silsersee yang berkeluasan 4 kilometer persegi ini terletak di Engadin. Untuk melihat keseluruhan kawasan tasik ini, pengunjung boleh mendaki gunung dan melihat pemandangannya dari aras yang lebih tinggi atau boleh menaiki bot yang akan membawa pengunjung mengelilingi kawasan tasik.

Pada musim luruh, hutan pine di sekeliling tasik memberikan satu pemandangan yang fotogenik di mana semua daun pine bertukar warna dari hijau kepada kuning dan oren keemasan.

7. Tasik Riffelsee

Tasik Riffelsee yang kecil ini terletak di Zermatt. Untuk pergi ke tasik ini, pengunjung perlu menaiki tren yang menuju ke Gornegrat. Apabila tiba di Roterboden, pengunjung perlu turun dan berjalan kaki sekitar 10 minit sebelum tiba di kawasan tasik.

Tasik ini seperti cermin besar yang memaparkan refleksi Gunung Matterhorn. Refleksi yang sangat jelas tanpa diliputi awan boleh dilihat pada waktu pagi. Boleh jadi spot baru untuk bergambar sambil pegang coklat Toblerone, ni.

P/s: Tahu tak perkataan -see di setiap hujung nama tasik, membawa maksud tasik dalam bahasa Swiss-German.