“Ya Allah, Salji!” kataku dalam hati dengan penuh keterujaan tatkala bas kami tiba di perkarangan luar Fujiten Snow Park. Rasanya keterujaan ini jika dipamerkan, sama aje aras keterujaannya tu dengan anak-anak peserta trip. Selama berpuluh tahun hidup, inilah kali pertama diriku dapat melihat salji.

Bibirku mengukir senyum tanpa sepatah perkataan keluar dari mulut semasa bergegas turun dari bas sewa kami. Keterujaan ku sepertinya tidak dapat disembunyikan lagi. Lalu, ku membongkokkan diri mengaup salji dengan tangan yang telah dibuka sarung tangan kalis airku. Iyelah, pertama kali jumpa dan nak rasa, mestilah nak pegang dengan tangan sendiri tanpa sebarang alas.

“Terima kasih Allah atas nikmat ini.” Tutur ku dengan senyuman yang telah pun bertukar menjadi sengihan yang lebar.

Perasaan gembira tak terkata dan bangga di dalam diri dapat berjumpa dan menyentuh salji ini tidak kuceritakan pada sesiapa waima keluarga dan sahabat.

Seminggu selepas pulang ke tanah air……….

“Pergi Fujiten hari tu, ya? Memang Fujiten sahaja yang baru bersalji sekarang. Tempat lain belum ada salji lagi. Cepat betul mereka buat salji tiruan tu.”

Salji tiruan? Luluh rasa hati yang penuh perasaan gembira dan bangga selepas mendengar ayat kawan tu. Gumpalan salji yang dibaling hari tu pun tak luruh berderai seperti berderainya hatiku di kala itu.

Ku sangka tulen, rupanya tiruan.